
BINTULU: Lembaga Pelabuhan Bintulu (LPB) diyakini berupaya memainkan peranan lebih signifikan dalam pembangunan Sarawak, berdasarkan pengalaman luas, kepakaran teknikal serta rangkaian kukuh yang telah dibina selama lebih empat dekad.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, berkata walaupun LPB telah mencatatkan pelbagai pencapaian membanggakan di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan, potensi sebenar pelabuhan tersebut masih belum dimanfaatkan sepenuhnya.
“Kita percaya bahawa potensi sebenar Pelabuhan Bintulu masih belum direalisasikan sepenuhnya.
“Dengan kekuatan pengalaman, kepakaran teknikal dan rangkaian yang dimiliki, LPB kini berada dalam kedudukan yang kukuh untuk menyumbang lebih besar kepada agenda pembangunan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri LPB 2025 yang berlangsung di pekarangan Bangunan Menara Kidurong, di sini, malam tadi.
Dalam ucapannya, Hasbi turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja LPB atas kejayaan membangunkan Pelabuhan Bintulu sebagai antara pelabuhan utama negara, khususnya dalam sektor gas asli cecair (LNG), kontena dan kargo am.
“Kita telah berjaya menjadikan Pelabuhan Bintulu sebagai salah satu pelabuhan utama di Malaysia,” katanya.
Beliau turut memuji pendekatan strategik LPB dalam memastikan tahap keselamatan, kecekapan operasi dan pematuhan terhadap piawaian antarabangsa sentiasa berada pada tahap tertinggi.
“Kerajaan Persekutuan amat berbangga dengan strategi yang diambil LPB dalam mengekalkan keselamatan pelabuhan, kecekapan operasi serta pematuhan kepada piawaian antarabangsa,” tambahnya.
Menyentuh mengenai kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri, Hasbi menegaskan pentingnya hubungan sinergi antara semua agensi bagi memastikan agenda pembangunan negara dapat direalisasikan dengan berkesan.
“Kita tidak boleh bekerja secara bersendirian. Penyelarasan mantap, komunikasi terbuka serta komitmen bersama antara semua agensi kerajaan di peringkat pusat dan negeri amat penting,” tegasnya.
Beliau turut menyentuh mengenai peralihan status Pelabuhan Bintulu daripada pelabuhan Persekutuan kepada pelabuhan negeri, serta menyeru agar warga LPB terus mengekalkan kecemerlangan dalam perkhidmatan.
“Saya berharap seluruh warga LPB dapat meneruskan prestasi cemerlang mereka. Syabas juga kepada Pengurus Besar LPB, Mizool Amir Mat Drus atas kepimpinan yang berwibawa,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan majlis rumah terbuka anjuran LPB sebagai lambang penyatuan rakyat pelbagai kaum dan latar belakang, selari dengan semangat Malaysia MADANI.
“Pada malam ini, kita lihat semua lapisan masyarakat tanpa mengira pangkat, kaum, agama, dan fahaman politik duduk semeja bersama-sama.
“Ini mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian yang kukuh antara kita,” katanya.
Oleh Carolyne Utih