
KUCHING: Seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun yang disyaki terlibat dalam kejadian rompakan di sebuah kedai serbaneka 24 jam di Jalan Pending pada 9 April lalu telah berjaya ditahan polis dalam tempoh kurang 24 jam selepas kejadian.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintenden (Supt) Merbin Lisa mengesahkan penahanan suspek sekitar 11.00 malam pada hari sama oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Bintawa.
Menurut beliau, pihak polis menerima laporan berkaitan kejadian tersebut pada 10 April daripada seorang wanita tempatan berusia dalam lingkungan 20-an, yang bertugas di kaunter kedai tersebut semasa kejadian berlaku.
“Mangsa memaklumkan bahawa kejadian berlaku sekitar 7.11 malam dan seorang lelaki telah mengacukan senjata tajam kepadanya sebelum melarikan wang tunai berjumlah RM500 dari mesin daftar tunai,” katanya dalam satu kenyataan.
Susulan penahanan tersebut, polis turut merampas sebuah topi keledar, sebilah pisau pemotong (cutter knife) dan pakaian yang dipercayai dipakai oleh suspek semasa kejadian rompakan.
Siasatan awal mendapati suspek telah mengaku terlibat dalam insiden tersebut manakala ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah.
Suspek kini direman selama lima hari hingga 16 April ini bagi membantu siasatan lanjut, termasuk bagi mengenal pasti penglibatannya dalam kes-kes jenayah lain.
Kes disiasat di bawah Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 14 tahun, serta boleh dikenakan denda atau sebat jika disabit kesalahan.
Oleh Connie Chieng