
PUSA: Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan (MIPD) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak akan sentiasa turun padang bagi memantau pelaksanaan projek infrastruktur di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata langkah tersebut akan membolehkan mereka mengenal pasti dan menyelesaikan sebarang isu atau masalah yang boleh melambatkan kerja-kerja pembinaan.
“Dalam melaksanakan projek, JKR boleh menghadapi masalah berkaitan pemilikan tanah dan cuaca buruk. Kadang-kadang kontraktor juga akan mempunyai masalah sendiri.
“Tetapi jika kita terus berada di lapangan, menyemak dan memantau serta mengenal pasti dan menyelesaikan masalah, pembinaan boleh berjalan lancar untuk memenuhi tarikh penyiapan jadual atau lebih awal.
“Jika projek menghadapi beberapa isu, kita mesti mengenal pasti dan menyelesaikannya. Seperti orang sakit, kita mesti mencari ubat untuk merawatnya dengan segera. Kita tidak boleh membiarkan ‘penyakit’ menjadi kritikal,” katanya semasa melakukan tinjauan perkembangan pembinaan projek Jambatan Batang Saribas 2 di sini hari ini.

Mengenai projek pembinaan Jambatan Batang Saribas 2, beliau berkata ia kini 65.1 peratus siap.
“Jadi ada baki 34.9 peratus lagi, sasaran kita ialah jambatan bernilai RM385 juta ini siap pada Disember tahun ini, iaitu kira-kira lapan bulan lagi.
“Kita perhatikan kontraktor mempunyai pekerja yang mencukupi, jentera yang mencukupi. Musim tengkujuh sudah berakhir dan diharapkan dalam beberapa bulan akan datang cuaca cerah. Justeru, saya berharap tarikh penyiapan sasaran kami tercapai.
“Tetapi ia memerlukan kerja keras, jadi saya telah meminta JKR dan perunding untuk melakukan penyeliaan yang sangat meluas. Jadi saya telah mengarahkan Pengarah JKR, Dr Cassidy Morris dan pasukannya serta perunding dan kontraktor untuk menyusun pelan kerja bagi memastikan ia berjaya disiapkan.
“Mereka mesti memastikan bahawa tiada isu yang boleh mengganggu atau melambatkan proses,” ujarnya.

Beliau menambah bahawa kerjasama semua pihak, jambatan tersebut diyakini dapat disiapkan menjelang Disember ini.
Uggah berkata Jambatan Batang Saribas 2 sepanjang 2.39 kilometer (km) itu akan menjadi jambatan ketiga terpanjang di Sarawak daripada 16 jambatannya.
Pada masa sama, beliau bersama yang lain turut berpeluang memandu uji melalui Jambatan Batang Saribas 1 yang hampir siap, dengan jambatan bernilai RM375.5 juta merentasi Sungai Saribas itu dijangka dibuka kepada orang ramai pada bulan depan.
Oleh Adi Safarman