
MIRI: Seramai 12 ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Sarawak Skills Miri telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong, semalam, bagi menimba ilmu berkaitan kebombaan dan keselamatan.
Rombongan diketuai oleh Cassandra Izzati yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa, Nor Fadhlina Abdul Azid.
Ketibaan mereka disambut mesra oleh Ketua Balai BBP Lutong, PBT II Henry Jugah, bersama Penyelia Pasukan Charlie, PBK II (KUP) Edwin Siba serta anggota bomba yang bertugas.
Lawatan dimulakan dengan sesi menandatangani buku pelawat oleh Cassandra Izzati, diikuti dengan taklimat yang disampaikan sendiri oleh Henry mengenai sejarah penubuhan BBP Lutong, peranan serta aktiviti dan program balai tersebut.
Taklimat berlangsung di bilik mesyuarat balai.
Seterusnya, para peserta diberikan penerangan mengenai fungsi bilik kawalan dan jentera bomba oleh PB Aloysius Ganang.
Mereka turut dibawa melawat sekitar kawasan balai termasuk sudut aktiviti, sudut eksa, dan kemudahan lain, dengan bimbingan PBK II (KUP) Edwin Siba serta anggota Pasukan Charlie.
Dalam ucapannya, Cassandra merakamkan penghargaan kepada BBP Lutong atas kesudian menerima kunjungan mereka serta berkongsi ilmu dan pengetahuan berkaitan keselamatan di tempat kerja.
“Lawatan ini membolehkan kami melihat sendiri peranan penting yang dimainkan oleh pihak bomba dalam memastikan keselamatan komuniti.
“Ia juga memberikan pendedahan berguna kepada ahli jawatankuasa kami dalam aspek keselamatan dan kesihatan,” katanya.
Beliau turut berharap agar jalinan kerjasama antara Sarawak Skills Miri dan BBP Lutong dapat diteruskan pada masa akan datang.
Oleh Liong Chai Ling