
BATU NIAH: Program “Talk To Us” anjuran Balai Polis Batu Niah yang diadakan di medan selera di sini mendapat sambutan menggalakkan daripada komuniti setempat.
Program yang berlangsung pagi semalam itu diketuai oleh Sarjan Abdul Rahman Masjid, bersama Koperal Romizi Abdul Latif dan Koperal Norshima Mohamad Jais.
Menurut kenyataan Polis Daerah Miri, program “Talk To Us” bertujuan menerima aduan serta maklum balas daripada masyarakat berhubung isu-isu jenayah.
“Selain itu, ia juga bertujuan memupuk dan menyemai semangat persefahaman antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan komuniti dalam usaha pencegahan jenayah secara bersama.
“Program ini turut memastikan masyarakat mendapat gambaran jelas mengenai situasi jenayah di kawasan pentadbiran Balai Polis Batu Niah,” menurut kenyataan itu lagi.
Oleh Adum Liu