PETRA JAYA: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menerima tiga kunjungan hormat di Wisma Bapa Malaysia, pagi tadi.
Kunjungan pertama adalah daripada rombongan Duta Besar Sweden ke Malaysia, Tuan Yang Terutama (TYT) Niklas Wiberg bertujuan membincangkan peranan Sarawak dalam peralihan tenaga terutamanya dalam industri tenaga hijau.
Menurut TYT Niklas Wiberg, Sarawak mempunyai potensi dalam penerokaan tenaga hijau seperti hidrogen yang diperlukan oleh negara tersebut.
“Kami mempunyai lebih daripada 100 syarikat Sweden, semua syarikat besar Sweden seperti ABB, SKF, Volvo Trucks, Ericsson, Scania, Alfa Laval, Atlas Copco di mana kesemua mereka mempunyai satu persamaan, iaitu mereka banyak melabur dalam peralihan tenaga hijau.
“Merek bersedia untuk bekerjasama dan mengembangkan lagi pelaburan sekali gus meningkatkan hubungan dengan Sarawak.
“Pertemuan dengan Premier Sarawak itu juga bertujuan mempercepat kerjasama bagi menjalankan projek bersama Sarawak,” katanya ketika bercakap pada kunjungan hormat di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.
Seterusnya, Premier Sarawak menerima kunjungan hormat daripada rombongan Affin Bank Berhad yang diketuai Pengarah Affin Bank Berhad Wilayah Sarawak, Victor Liew Wui Tak.
Kunjungan hormat yang ketiga daripada Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri, Adam Yii Siew Sang bertujuan membincangkan projek rakyat untuk penduduk di kawasan Miri.