
BINTANGOR: Impian warga daerah Meradong untuk memiliki sebuah kolam renang sendiri akan menjadi kenyataan apabila Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak telah meluluskan peruntukan sebanyak RM22.4 juta bagi projek pembinaan kemudahan tersebut.
Lawatan tapak dan sesi perbincangan berkaitan projek telah diadakan baru-baru ini, diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing bersama beberapa wakil kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.
Koung Hiing, amat berbesar hati dengan pengesahan lokasi kolam renang tersebut yang telah lama dinantikan oleh penduduk tempatan.
“Ini satu berita yang sangat menggembirakan bagi komuniti Meradong.
“Kolam renang ini bukan sahaja melengkapkan kemudahan sukan di daerah ini, malah membuka peluang untuk melahirkan lebih ramai atlet renang berbakat pada masa depan,” katanya semasa sesi perbincangan.
Koung Hiing turut menjalankan lawatan dan tinjauan kerja-kerja menaik taraf Kompleks Sukan Bintangor yang telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan kos RM2.5 juta.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak kementerian atas kelulusan dua projek penting ini yang semestinya akan memberi impak besar kepada pembangunan sukan di kawasan Meradong,” katanya.
Turut hadir ialah Penolong Setiausaha Kanan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Molina Luhum, Penolong Pegawai Daerah Meradong Sonia Hii, Setiausaha Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ) Lau Chi Sing dan Pemanca Yii Hee Sieng.
Oleh Earl Anek