
BINTANGOR: Ancaman serangga berbisa berjaya dikawal apabila pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor memusnahkan sarang tebuan yang ditemui di dalam almari luar sebuah rumah di Jalan Sing Ba, petang semalam.
Ketua BBP Bintangor, Mahmudin Narudin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.35 petang sebelum menghantar lima anggota ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati terdapat satu sarang tebuan di dalam almari luar rumah tersebut.
“Pasukan bomba segera mengambil tindakan dengan menggunakan semburan racun serangga jenis Baygon untuk memusnahkan sarang tebuan tersebut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tambahnya, operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Haron Jenai dimulakan pada 6.55 petang dan berakhir kira-kira 18 minit kemudian pada 7.13 malam.
Pasukan bomba mematuhi prosedur keselamatan ketat sepanjang tindakan memusnahkan sarang tebuan, termasuk penggunaan pakaian pelindung diri (PPE) yang lengkap.
“Orang ramai diseru agar segera melaporkan kepada pihak bomba sekiranya mengesan kewujudan sarang serangga berbisa seperti tebuan di kawasan kediaman mereka.
“Sarang tebuan boleh menjadi ancaman serius kerana serangan serangga ini berpotensi mengancam nyawa, terutamanya kepada individu yang alergik terhadap bisa tebuan,” katanya.
Oleh Earl Anek