
SARIKEI: Perjalanan yang dulunya memakan waktu dua jam setengah kini hanya lebih kurang 45 minit membawa perubahan ketara yang dinikmati penduduk kawasan Tanjung Manis dan Sarikei selepas prapelancaran jalan baharu dari Jalan Pasi ke Tanjung Manis yang dihubungkan menerusi Jambatan Batang Rajang.
Projek mega berimpak tinggi ini membabitkan pembinaan jalan sepanjang 17 kilometer (km) dari Jalan Pasi ke Tanjung Manis dan Jambatan Batang Rajang sepanjang 1.4 km, dengan kos keseluruhan berjumlah RM321 juta
Majlis Prapelancaran projek telah dilancarkan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada 27 Mac lalu.
Tinjauan Utusan Sarawak hari ini mendapati jalan tersebut telah digunakan oleh pengguna jalan raya sejak hari prapelancarannya.
Selain mempercepatkan perjalanan ke Tanjung Manis, jarak ke Kampung Serdeng turut dipendekkan kepada lebih kurang 20 minit.
Bagaimanapun, sebahagian laluan dari simpang Tanjung Manis ke Jambatan Batang Rajang masih dalam proses penyiapan.
Pihak kontraktor kini sedang giat mengetar sebahagian laluan dan melebarkan parit di tepi laluan bagi memastikan infrastruktur ini lebih selamat dan berkualiti.
Oleh itu, pengguna jalan raya dinasihatkan agar memandu kenderaan atau menunggang motosikal dengan berhati-hati di sebahagian laluan tersebut.
Sila patuhi tanda-tanda had laju yang telah disediakan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kerajaan Sarawak dan wakil-wakil rakyat setempat dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) turut menerima penghargaan daripada rakyat Sarawak atas kejayaan merealisasikan projek ini yang sekian lama dinanti-nantikan.
Kesalinghubungan baharu ini bukan sahaja memudahkan perjalanan, malah dijangka melonjakkan aktiviti ekonomi setempat, membuka lebih banyak peluang pekerjaan, serta memperkasa sektor pertanian, perikanan dan pelancongan di kawasan pesisir.
Oleh Earl Anek