
SIBU: Seorang lelaki warga China direman selama empat hari bermula semalam, 31 Mac, untuk membantu siasatan berhubung kes kemalangan yang meragut nyawa Pengarah Mahkamah Negeri Sabah, Marutin Pagan, 56, petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili, ketika dihubungi hari ini mengesahkan bahawa suspek berusia 42 tahun telah ditahan dan direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Terdahulu, semasa kejadian kelmarin, 30 Mac, Marutin disahkan maut selepas Toyota Fortuner dinaikinya terlibat dalam kemalangan membabitkan Proton X70 di Bulatan Kanowit/Durin.
Mangsa tercampak keluar dari kenderaan dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan parah pada bahagian kepala.
Dalam satu kenyataan, Zulkipli, memberitahu suspek tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala empat penumpang lain dalam kenderaan mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan sedang menerima rawatan di Hospital Kanowit.
Marutin berasal dari Machan, Kanowit, telah berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Sesyen di Sibu dan Bintulu, serta Hakim Mahkamah Majistret di Kuching, sebelum dilantik sebagai Pengarah Mahkamah Negeri Sabah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu yang menyebabkan kematian.
Oleh Tarani Lanting