ALOR SETAR: Kerajaan optimis agenda untuk melonjakkan ekonomi negara dan merapatkan jurang pendapatan rakyat dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) akan dicapai walaupun berhadapan dengan pandemik Covid-19.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata beliau yakin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan memastikan matlamat itu dicapai pada 2030, sekali gus menambah baik kehidupan golongan B40.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Libat Urus dengan pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan koperasi negeri Kedah, di sini, semalam.
Katanya, sesi libat urus usaha sama Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) itu, adalah antara usaha kerajaan merealisasikan WKB 2030 supaya semua lapisan masyarakat dapat mengetahui dan menjiwai wawasan berkenaan.
Selain itu, sesi berkenaan diadakan bagi memperkenalkan agensi dan penggerak iaitu TERAJU, Yayasan Peneraju dan SEPADU yang akan bertanggungjawab dalam melaksanakan wawasan berkenaan.
Menurut beliau, SEPADU ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan projek, program dan inisiatif WKB 2030 yang boleh meningkatkan taraf sosioekonomi kumpulan B40.- Bernama