
PETRA JAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan rokok dengan anggaran nilai rampasan termasuk duti atau cukai melebihi RM12.64 juta dalam serbuan di Jalan Semaba Batu 5, baru-baru ini.
Pengarah Kastam Sarawak, Norizan Yahya, berkata operasi itu hasil risikan dan pemantauan berterusan pihaknya.
“Rokok ini disimpan di premis tanpa nama sebelum diedarkan ke pasaran gelap.
“Dalam serbuan itu, kita turut menyita sebuah lori yang digunakan untuk mengangkut rokok dengan nilai anggaran RM80,000,” katanya dalam sidang media di Wisma Kastam, hari ini.

Menurutnya, seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Modus operandi penyeludup adalah dengan mengisytiharkan rokok ini sebagai produk lain bagi mengelak dikesan. Ini merupakan antara rampasan terbesar yang pernah kami lakukan,” tambahnya.
Beliau turut mendedahkan bahawa rokok seludup dibawa masuk melalui pelbagai laluan, termasuk udara untuk jumlah kecil dan pelabuhan utama seperti Senari Port serta Pending Port bagi kuantiti lebih besar.
“Kami juga menjalankan pemantauan ketat di kawasan perairan dengan kerjasama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Pasukan Marin, Maritim Malaysia dan beberapa agensi lain bagi mengekang penyeludupan,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(a) Akta Eksais 1976.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyeludupan diminta menghubungi JKDM menerusi Talian Bebas Tol 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat.
Oleh Amanda L.