
LAWAS: Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Daerah Lawas serta pelbagai agensi penguatkuasa meneruskan usaha memperkasa keselamatan jalan raya apabila mengadakan Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Daerah Lawas 2025 di hadapan bangunan Pasar Besar Lawas, hari ini.
Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong hadir bagi memeriahkan majlis tersebut dan telah mengedarkan 20 topi keledar, kit keselamatan jalan raya, 300 pek bubur kacang daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas, 300 pek bubur kacang daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Lawas, 300 pek bubur lambuk daripada MKJR dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sementara itu, Henry Sum berharap agar pengguna jalan raya akan lebih bertanggungjawab semasa memandu kenderaan sepanjang musim perayaan Aidilfitri akan datang.
Beliau turut menegaskan amalan memeriksa kenderaan adalah penting sebelum pulang ke kampung masing-masing.

“Kepada umat Islam, kita harap semua dapat menamatkan puasa sebagai tanggungjawab kepada agama dan jika letih, adalah perlu untuk merancang perjalanan mengikut waktu yang sesuai, ” katanya selepas merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Daerah Lawas 2025 anjuran MKJR Lawas, yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok.
Hadir sama, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Ketua Polis Daerah Lawas Deputi Superintenden Polis (DSP) Liong Tindan, Ketua Cawangan JPJ Lawas Hadri Rahman, Ketua BBP Lawas Clarence D. Primus Tiandun dan wakil jabatan kerajaan lain.
Oleh Adeng Edrus