
KABONG: Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) meluluskan peruntukan berjumlah RM1.4 juta bagi melaksanakan dua projek berimpak tinggi di Daerah Kabong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata dua projek tersebut ialah projek pembinaan stesen minyak yang menelan kos sebanyak RM1.1 juta dan projek naik taraf Yellow Cafe Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kabong berjumlah RM300,000.
“Kedua-dua projek pembangunan tersebut akan mula dilaksanakan pada tahun ini dan saya amat menyambut baik usaha yang dirancang oleh PNK Kabong itu dalam membangunkan sosioekonomi nelayan, terutama masyarakat di Kabong.
“Alhamdulillah permintaan serta cadangan daripada pihak PNK Kabong mendapat perhatian oleh BDDA dan impian seluruh masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong untuk melihat sebuah stesen minyak dibina di daerah ini bakal menjadi kenyataan sebaik sahaja kerja pembinaannya bermula tidak lama lagi,” katanya semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PNK Kabong Ke-45 di Dewan Balai Polis Kabong, pagi tadi.
Chee Kadir berkata, pihaknya kini masih lagi menunggu kelulusan berkaitan projek yang dipohon sebelum ini, iaitu pembinaan sebuah anjung selera dan inap desa PNK Kabong bernilai RM900,000.
“Saya percaya kerajaan Sarawak melalui BDDA akan meluluskan pembinaan sebuah anjung selera dan inap desa PNK Kabong yang ditunggu-tunggu pembinaannya oleh penduduk selama ini. Semoga pelaksanaan kesemua projek ini akan dipermudahkan dan saya sebagai wakil rakyat akan membantu apa sahaja keperluan demi memajukan kawasan DUN Kabong ini,” katanya.
Chee Kadir akan menyokong sepenuhnya cadangan PNK Kabong untuk mewujudkan kembali kilang obor-obor yang sinonim dengan kampung nelayan di Kabong.


Selain itu, sumbangan suku sen projek pembekalan diesel bersubsidi Persatuan Nelayan Sarawak (PENESA) turut diserahkan kepada PNK Kabong berjumlah RM9,249.86, selain inisiatif pekerja terbaik PNK Kabong, sumbangan kepada asnaf, bantuan pendidikan Yayasan Nelayan Malaysia (YANEM), penyampaian inisiatif pelajar cemerlang ujian akhir sesi akademik Tahun Enam 2024/2025, Tabung Bantuan Pelajaran Anak-Anak Nelayan dan sumbangan perubatan ahli berjumlah RM15,955.00.
Turut hadir ialah Pegawai Wilayah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Wilayah IV Betong Nurhaizawati Samsimon, Pengurus PNK Kabong Sahariya Tahot, Pengerusi PNK Kabong yang juga Lembaga Pengarah PENESA Darmizan Daud, Pengerusi PNK Gerigat Abang Ahmad Abang Resdi, Pengerusi PNK Beladin Dolhan Ali dan Pengerusi PNK Layar Rimbas Hassani Man.
Oleh Adi Safarman