
SIBU: Persatuan Autisme Sibu (SAA) masih memerlukan dana untuk projek pembinaan bangunan baharu persatuan itu yang menelan kos keseluruhan (pembinaan) dianggarkan berjumlah RM6.5 juta.
Presiden Persatuan Autisme Sibu (SAA) David Ngu Tai Giin memberitahu, setakat ini, mereka hanya berjaya mengumpul kurang daripada setengah juta ringgit.
Menurutnya, bangunan ini akan menyediakan lebih banyak ruang dan kemudahan bagi kanak-kanak autistik di Sibu dan kawasan sekitarnya, membolehkan mereka menawarkan perkhidmatan yang lebih baik dan komprehensif.
“Namun, kami masih memerlukan lebih banyak dana untuk menyiapkannya. Kos keseluruhan pembinaan dianggarkan berjumlah RM6.5 juta, tetapi setakat ini, kami hanya berjaya mengumpul kurang daripada setengah juta ringgit
“Saya menyeru semua pihak untuk bersama-sama membantu mengumpul dana bagi merealisasikan impian ini. Setiap sumbangan amat bermakna buat kanak-kanak autistik yang memerlukan tempat lebih baik untuk belajar dan berkembang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa anjuran SAA di sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi.
Mengulas tentang majlis tersebut, Ngu menekankan kepentingan meraikan perayaan bersama dalam masyarakat majmuk sebagai asas kepada perpaduan dan keharmonian.
Katanya, sambutan Aidilfitri bukan sahaja melambangkan kejayaan umat Islam menunaikan ibadah puasa, tetapi turut menjadi peluang untuk mengukuhkan hubungan sesama insan tanpa mengira latar belakang.
“Majlis ini membuktikan bahawa walaupun kita berbeza budaya dan agama, kita tetap boleh duduk bersama, berkongsi kegembiraan dan mengeratkan silaturahim. Semoga semangat muhibah ini terus mekar dalam kehidupan kita,” kata beliau.
Turut hadir, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sibu Haliza Din.
Oleh Akun Giman