
DEBAK: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak telah menyalurkan sejumlah RM42.9 juta untuk 54,040 penerima bantuan bulanan klien JKM di seluruh Sarawak dari Januari hingga Februari 2024.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata bagi Bahagian Betong, daripada Januari hingga Mac tahun ini, JKM Betong telah menyalurkan sejumlah RM6.322 juta untuk 4,835 penerima bantuan bulanan JKM.
“Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KWPK) melalui JKM Sarawak amat mengalu-alukan kerjasama dari semua pihak dalam meningkatkan kesejahteraan golongan rentan.
“Sokongan kuat dari segi moral, psikologi dan emosi adalah penting dalam membantu kelangsungan hidup mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis Sejambak Kasih Hari Raya Aidilfitri Tahun 2025 Daerah Betong bertempat di Masjid Darul Solihin Debak di sini hari ini.
Razi berkata bagi Majlis Sejambak Kasih Aidilfitri pada tahun ini, JKM Sarawak telah memperuntukkan RM1.662 juta untuk 16,624 orang klien JKM dari seluruh negeri.
“Daripada jumlah tersebut, seramai 2,398 klien JKM Bahagian Betong merupakan penerima sumbangan sempena Aidilfitri kali ini,” katanya.
Majlis yang penuh dengan keberkatan ini menyaksikan pengagihan sumbangan penerima Bantuan Ihsan Kematian (BIK) kepada Mundat Encharang dan Menggan Madil.

Turut disampaikan penerima Kad Orang Kurang Upaya (OKU) dengan jumlah penerima sebanyak lima orang.
Turut hadir, wakil Pengarah JKM Sarawak, Nurin Chunggat, wakil Residen Bahagian Betong, Hamdan Katang, Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Betong, Abdul Shamat Kasim, Pegawai Menguasa Daerah Kecil Debak, Mohd Khairurani Mohd Ibrahim dan Temenggong Piee Alwi.
Oleh Adi Saparman