


KUCHING: Graduate Enhancement Training Sarawak-Work Readiness Program (GETS-WRP) yang dilancarkan baru-baru ini meneruskan usaha memperkasakan graduan dengan kemahiran industri yang kritikal sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam pasaran kerja.
Program itu bertujuan merapatkan jurang antara pengetahuan akademik dan keperluan industri dengan menyediakan latihan berstruktur, bimbingan kerjaya serta pengalaman praktikal dalam sektor utama seperti ekonomi digital, tenaga, kewangan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Inisiatif itu secara tidak langsung sejajar dengan agenda pembangunan Sarawak dalam melahirkan tenaga kerja bagi mengisi peranan berimpak tinggi dalam ekonomi yang semakin berkembang.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Centre of Performance Excellence (Scope), Joseph Lim, GETS-WRP bukanlah sekadar program latihan biasa tetapi juga dianggap sebagai inisiatif yang berpaksikan hasil.
“Melalui pembelajaran berstruktur, pendedahan industri serta penjejakan prestasi, program ini akan menyumbang secara signifikan kepada pembangunan bakat di Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Data terkini turut menunjukkan bahawa ekonomi Sarawak semakin berkembang, namun ramai graduan masih menghadapi kesukaran mendapatkan pekerjaan akibat ketidaksepadanan antara kelayakan akademik dan keperluan industri.
Oleh itu, GETS-WRP direka khas untuk menangani cabaran ini dengan menyediakan latihan berstruktur, penempatan industri dan bimbingan kerjaya bagi memastikan graduan bersedia untuk bekerja.
Program ini turut dibangunkan dengan kerjasama GLC, badan berkanun serta rakan strategik sektor swasta dan telah merangkumi modul latihan kepimpinan, pemikiran kritis, kecerdasan emosi, keusahawanan dan komunikasi yang disesuaikan dengan keperluan ekonomi Sarawak.
Selain itu, graduan juga akan memperoleh pengalaman praktikal melalui latihan industri dan pembelajaran berasaskan projek bagi meningkatkan kemahiran mereka sebelum memasuki pasaran kerja.
Sebagai sebahagian daripada komitmen Sarawak terhadap pembangunan modal insan, GETS-WRP turut menawarkan peluang kerjaya melalui JobStreet.com dan Perkeso MyFutureJobs, selain menyediakan rangkaian hubungan profesional serta penglibatan industri untuk memperkukuhkan daya saing graduan di pasaran pekerjaan.