LIMBANG: Kes tangkapan bersabit kes penyalahgunaan dadah menunjukkan peningkatan di Bahagian Limbang untuk tempoh Januari hingga Jun lalu.
Sebanyak 588 kes tangkapan dadah melibatkan individu yang berusia 17 hingga 50 tahun direkodkan di bahagian ini sepanjang tahun lalu.
Menurut Timbalan Residen Bahagian Limbang Sebi Haji Abang, dari jumlah itu 367 kes tangkapan di Daerah Limbang manakala 221 tangkapan di Lawas.
Jelasnya, bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini sebanyak 209 kes tangkapan dilaporkan di Daerah Limbang manakala sebanyak 127 tangkapan di Daerah Lawas.
Ini jelas menunjukkan trend peningkatan terhadap statistik kes tangkapan terhadap aktiviti penyalahgunaan dadah dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.
Beliau menjelaskan demikian pada sidang media selepas Majlis Tindakan Membanteras Dadah, (MTMD) Peringkat Bahagian Limbang di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Limbang Opang Melay , wakil Ketua Polis Daerah (KPD) Limbang, ASP Bill Azman dan wakil KPD Lawas, Inspektor Ben Suin.
Tambah Sebi, MTMD juga mengenal pasti tiga kawasan panas bagi masalah dadah di bahagian ini melibatkan dua kawasan di Limbang iaitu Kampung Limpaku Pinang dan Seberang Kedai serta Awat-Awat di Lawas.
Jelasnya, hampir setiap hari tangkapan dilakukan dan kemasukan bekalan dadah di bahagian ini dikenal pasti melalui jalan sungai, perkhidmatan kurier dan jalan tikus yang ada.
Oleh itu, peranan semua agensi yang ada akan terus digembleng termasuk kerjasama dengan pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta melaksana skim rondaan sukarela.
Selain itu, bagi kawasan panas, program kesedaran iaitu One Stop Community (OSC) akan diadakan di setiap kampung serta rumah panjang.
Oleh Adeng Idrus