KUCHING, 24 Oktober: Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin menyeru rakyat Sarawak menilai rekod prestasi, dasar serta perancangan pembangunan semua parti politik secara teliti menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-13 (PRN13).
Beliau berkata, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak semalam oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, merupakan detik penting dalam perjalanan demokrasi negeri ini.
Menurutnya, PRN13 memberi peluang kepada rakyat untuk menilai pencapaian kerajaan, meneliti hala tuju pembangunan serta menentukan masa depan Sarawak untuk tahun-tahun mendatang.
Willie berkata, di bawah kepimpinan Abang Johari, Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah melaksanakan agenda pembangunan yang memberi tumpuan kepada kepentingan negeri, pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Katanya, transformasi Sarawak merangkumi pembangunan ekonomi, pendigitalan, infrastruktur, pelaburan serta usaha memperkukuh kedudukan kewangan dan autonomi negeri.
“Kepimpinan mesti dinilai berdasarkan hasil, bukan sekadar janji. Sarawak memerlukan kepimpinan yang memahami sejarah negeri ini, mempertahankan hak dan kepentingan kita di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta memperkukuh kedudukan ekonomi negeri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Willie menegaskan, isu kemudahan infrastruktur luar bandar, bekalan air dan elektrik yang boleh dipercayai, jalan raya yang lebih baik, akses penjagaan kesihatan, pendidikan berkualiti, peluang pekerjaan serta kos sara hidup perlu terus menjadi keutamaan pembangunan.
Pada masa sama, beliau mengakui masih terdapat cabaran yang perlu ditangani, khususnya di kawasan pedalaman dan komuniti terpencil, dengan pembangunan perlu dirasai setiap kampung, rumah panjang dan isi rumah.
Katanya, pertumbuhan ekonomi juga perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan untuk golongan muda, pengukuhan perniagaan tempatan serta peningkatan taraf hidup keluarga di seluruh Sarawak.
Beliau berkata, kesinambungan pembangunan perlu berjalan seiring dengan akauntabiliti, termasuk pengurusan sumber awam secara bertanggungjawab, penambahbaikan kelemahan serta pelaksanaan komitmen yang telah dibuat kepada rakyat.
Sehubungan itu, beliau menggesa pengundi meneliti kemampuan setiap parti politik menawarkan dasar yang munasabah, pelan pelaksanaan yang jelas serta keupayaan memastikan pembangunan Sarawak dapat diteruskan tanpa mengabaikan kepentingan negeri.
Willie turut mengingatkan rakyat agar memelihara perpaduan dan keharmonian sepanjang tempoh pilihan raya, sambil menegaskan perbezaan politik tidak seharusnya menjejaskan keamanan serta sikap saling menghormati antara masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya.
Beliau akhirnya menyeru rakyat Sarawak memberikan sokongan kepada calon-calon GPS pada PRN13 bagi meneruskan agenda pembangunan negeri, sambil menekankan kepentingan kepimpinan yang stabil, hala tuju yang jelas dan komitmen terhadap masa depan seluruh rakyat Sarawak.
“Mari kita bergerak maju bersama dalam perpaduan, mempertahankan hak dan kepentingan kita serta membina Sarawak yang lebih kukuh, makmur dan inklusif untuk generasi akan datang,” katanya.
Oleh Adi Safarman





