
KUCHING: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) telah menyalurkan sumbangan dana pendidikan dan keperluan asas berjumlah RM30,880 kepada tiga badan kebajikan di bawah naungan HIKMAH, sebagai salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menyemarakkan Ramadan.
Ketiga-tiga badan kebajikan berkenaan ialah Pertubuhan Kebajikan Baiturrahman Kuching, Pusat Jagaan Laman Huda dan Yayasan Pelajaran Mara (YPM).

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd. Sanusi pada majlis berbuka puasa anjuran SEDC, di sebuah hotel terkemuka, di sini, petang tadi.
Antara keperluan asas yang disumbangkan adalah makanan, penapis air, kelengkapan peribadi dan solat, peralatan sekolah termasuk komputer, bagi memudahkan proses pembelajaran serta meningkatkan kesejahteraan penghuni badan kebajikan tersebut.
Selain itu, SEDC sebagai rakan penyumbang pendidikan YPM 2025, turut menyediakan bantuan kewangan bulanan sebanyak RM150 kepada pelajar Tingkatan 5 yang terpilih, bermula Mac hingga Disember, menerusi Skim Anak Angkat.
Turut hadir, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr. Hazland Abang Hipni serta isteri Datin Dayang Halimah Abang Paul, Pengerusi SEDC Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Dato Husain serta isteri Puan Sri Datin Amar Nur Ashima Aziz. – UKAS