

di Kampung Moyan Laut. -Foto UKAS
ASAJAYA: Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkesempatan menziarahi dua keluarga dalam Jelajah Amal Wanita Parlimen Kota Samarahan Zon Asajaya di Kampung Moyan Laut bagi menyantuni dan memberikan sokongan moral kepada mereka yang memerlukan.
Dalam lawatan pertama, beliau mengunjungi rumah mantan Penghulu Kampung Moyan Rosli Ahim, yang kini menghidap penyakit penyakit jantung, diabetes dan tekanan darah tinggi manakala isterinya, Kassom Pa’ie, turut mengalami masalah kesihatan akibat diabetes yang menyebabkan kaki kanannya terpaksa dipotong dan kini memerlukan kerusi roda untuk bergerak.
Beliau kemudian menziarahi Denan Bujang dan isterinya, Sakiah Etai, yang dahulunya aktif dalam persatuan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM).
Difahamkan, keadaan kesihatan mereka berdua kini semakin merosot sehingga menyukarkan pergerakan dan aktiviti harian.
Turut serta, Penolong Pegawai Daerah Asajaya, Hasanah Bujang, Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Asajaya Mahani Sahari dan Temenggong Masyarakat Melayu Bahagian Samarahan Chek Bujang. -UKAS