

ASAJAYA: Sebanyak 500 bungkus bubur lambuk dan kurma berjaya diagihkan kepada masyarakat sempena Jelajah Bubur Lambuk PEMADAM Care For You.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif & Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah memberitahu, program tersebut membawa mesej kesedaran kepada masyarakat.
“Agihan bubur lambuk ini bukan sekadar tradisi Ramadan, tetapi juga usaha menyampaikan kesedaran tentang bahaya penyalahgunaan dadah.
“PEMADAM Sarawak komited dalam mendekati masyarakat, terutama golongan muda, dengan slogan Jauhi Dadah, Hidup Penuh Erti.
“Program ini menjadi platform untuk menyampaikan mesej penting kepada anak-anak melalui ibu bapa mereka ketika berbuka puasa,” katanya semasa majlis berkenaan dan Penyerahan Bantuan Hari Raya Kepada Golongan Asnaf, hari ini.
Beliau turut menggesa agar masyarakat menjadikan Ramadan sebagai titik perubahan untuk meninggalkan perkara negatif, termasuk penyalahgunaan dadah.
“Kita mahu bulan puasa ini menjadi peluang untuk memperbaiki diri dan menjauhkan diri daripada gejala sosial yang tidak sihat,” katanya lagi.
“Setinggi terima kasih kepada semua yang membantu menjadikan program ini satu kejayaan.
“PEMADAM Sarawak berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang untuk manfaat masyarakat,”ujarnya.
OLEH MASRIN AFFIRAH