
KUCHING: Pelantikan Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) merupakan satu pengiktirafan terhadap kredibiliti, bakat serta usaha keras beliau dalam memodenkan wilayah ini.
Pelantikan tersebut diumumkan semalam oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg selepas Majlis Angkat Sumpah di Astana Negeri Sarawak.
Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Dato Hilmy Othman (gambar) menyifatkan pelantikan itu sebagai langkah yang tepat dan strategik berdasarkan pengalaman luas Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi.
“Sepanjang saya menjadi Datuk Bandar bermula September 2023, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi telah memberikan banyak pandangan dan arahan yang membawa transformasi kepada bandar raya yang dipertanggungjawabkan kepada DBKU daripada kepimpinan kerajaan Sarawak.
“Saya yakin pelantikan ini akan menjadi naratif baharu dalam membangunkan wilayah Kuching Utara secara holistik, merangkumi aspek fizikal dan rohaniah.
“Portfolio baharu Datuk Dr. Abdul Rahman sebagai penyelaras projek untuk agensi pembangunan wilayah akan membawa impak positif kepada DBKU dan Sarawak secara keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Beliau turut mengungkapkan rasa berbesar hati dengan pelantikan itu dan yakin ia akan membawa perubahan positif serta memacu pembangunan Kuching ke arah yang lebih dinamik.
“Sebagai satu pasukan, kami di DBKU akan terus menjalinkan kerjasama erat di bawah kepimpinan YB Datuk dan semua pihak yang terlibat dalam memajukan pembangunan Kuching,” ujarnya.
Tambahnya, kepimpinan Datuk Dr. Abdul Rahman akan membantu merealisasikan visi Kuching sebagai sebuah bandar raya yang mampan dan berdaya saing.
“Mewakili seluruh warga kerja DBKU, saya ingib menzahirkan ucapan tahniah serta rasa bangga terhadap pelantikan tersebut. DBKU juga komited memastikan setiap perancangan pembangunan berjalan lancar dan memberi manfaat kepada komuniti setempat.
“Saya yakin dengan sokongan daripada YB Datuk Abdul Rahman, DBKU akan terus mentadbir Kuching Utara dengan lebih baik dan membawanya ke arah kejayaan yang lebih gemilang,” tambahnya.