

KUCHING: Sarawak kini meneroka era pendidikan baharu dalam usaha memperkukuh literasi bahasa Inggeris dan pendidikan Sains, teknologi, kejuruteraan dan Matematik (STEM) menerusi pelancaran rasmi Persidangan Literasi Bahasa Inggeris Sarawak (SELC) 2025.
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Belia, Sukan dan Usahawan, Dato Gerald Rentap Jabu, penguasaan bahasa Inggeris adalah kunci kepada kejayaan dalam dunia yang semakin global.
“Kecekapan dalam bahasa Inggeris membuka pintu kepada peluang lebih luas dalam pendidikan, ekonomi, dan pembangunan profesional.
“Literasi bahasa Inggeris bukan sekadar alat komunikasi tetapi juga pemangkin kepada daya saing dan inovasi.
“Di Sarawak, kita perlu memastikan setiap pelajar, tanpa mengira latar belakang, mendapat akses kepada pendidikan bahasa Inggeris berkualiti,” katanya semasa pelancaran rasmi Persidangan SELC 2025, hari ini.

-Foto HERRIEY NAHA
Penyelaras Projek bagi Jawatankuasa Pembangunan Pendidikan Layar (LEDC), Dr. Steve Ancheh yang mewakili Pengerusi LEDC, Paul Langgang menyatakan bahawa SELC 2025 akan menjadi platform penting untuk memperkasa sistem pendidikan negeri.
“Kami mahu memastikan bahawa literasi bukan sahaja meningkatkan kemahiran membaca dan menulis, tetapi juga memperkukuh pembelajaran dalam bidang STEM.
“Saya percaya bahawa pendekatan Integrasi Literasi-STEM yang diperkenalkan dalam persidangan ini mampu membantu pelajar memahami konsep sains dan teknologi dengan lebih baik.
“Gabungan literasi dan STEM akan menjadikan pembelajaran lebih menarik dan relevan dengan keperluan industri masa depan,” jelasnya.
SELC 2025 bakal berlangsung di Pusat Acara Hikmah Exchange dari 17 hingga 19 September kelak, menghimpunkan lebih 1,000 peserta daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan industri.
Persidangan tersebut akan menampilkan penceramah antarabangsa seperti Gilbert Jolly, Pakar Pendidikan Fonik Digital serta Sara Wernham dan Sarah Dagnell, yang berpengalaman dalam pendidikan STEM.
Sebarang pertanyaan dan penyertaan boleh diajukan ke sarawakenglishliteracyconf@gmail.com atau +6082 555 189.
Turut hadir, Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan dan Pemasaran Business Events Sarawak (BESarawak), Jason Tan yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif BESarawak, Puan Amelia Roziman, ketua-ketua jabatan serta tetamu kehormat yang lain.
OLEH MASRIN AFFIRAH