SIBU: Peniaga Rumah Asap di kawasan seliaan Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) yang didapati gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bakal berdepan tindakan pembatalan kebenaran beroperasi serta-merta.
Pengerusi MDLBS, Sempurai Petrus Ngelai menegaskan, pihaknya memandang serius perkara itu kerana ia adalah satu kesalahan jenayah dan berdepan tindakan undang-undang mengikut akta semasa.
“Oleh itu, saya ingin mengingatkan semua pihak termasuk peniaga dan pelanggan supaya sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
“Mereka harus memberikan kerjasama dan kawalan kendiri bagi memastikan pandemik covid-19 dihapuskan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kes 21 individu termasuk dua pemilik Rumah Asap di Sibujaya yang dikenakan kompaun kerana melanggar SOP PKPP dalam pemeriksaan yang diketuai Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Superintenden Collin Babat, malam tadi.
Sempurai turut melahirkan perasaan kesal dengan sikap degil semua individu terbabit kerana mengabaikan SOP PKPP.
“Saya akan membawa pekara tersebut ke mesyuarat jawatankuasa tetap untuk dibincangkan,” ujarnya.
Oleh Akun Giman