
SIBU: Sebanyak 110,000 bekas bubur lambuk diedarkan serentak di seluruh Sarawak hari ini menerusi Program Gerak Rahmah Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Aaron Ago Dagang berkata, program anjuran Kementerian Perpaduan Negara dengan kerjasama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) itu turut berlangsung di seluruh negara.
“Secara keseluruhan, sebanyak 1.3 juta bekas bubur lambuk telah disediakan di seluruh negara dengan penyertaan 3,400 Kawasan Rukun Tetangga (KRT), melibatkan 6,500 periuk bubur.
“Di Sarawak sahaja, hari ini kita telah menyediakan 110,000 bekas bubur lambuk untuk diagihkan kepada orang ramai,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Program Gerak Rahmah Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan Sarawak dan Sungkei Perdana 2025 di Dataran Tun Tuanku Bujang, di sini, hari ini.

Program ini turut merangkumi Majlis Iftar Harmoni yang diadakan di lebih 100 lokasi seluruh negara sepanjang Ramadan.
Selain mengagihkan bubur lambuk, beliau turut menyampaikan Bakul Rahmah kepada golongan asnaf serta mangsa banjir bulan lalu.
Mengulas mengenai majlis berbuka puasa di sini, Aaron berkata, program ini bukan sekadar acara berbuka puasa, tetapi juga platform bagi merapatkan hubungan antara rakyat berbilang kaum.
“Kami amat berbangga kerana majlis ini dihadiri oleh masyarakat pelbagai latar belakang yang bersama-sama meraikan Ramadan tanpa mengira bangsa dan agama.
“Inilah semangat perpaduan yang kita ingin pupuk dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.
Oleh Tarani Lanting/Akun Giman