
SIBU: Kumpulan Rimbunan Hijau (RH) sempena sambutan Jubli Emas menyerahkan sumbangan peralatan perubatan bernilai RM102,000 kepada Hospital Sibu, hari ini.
Menurut Pengarah Hospital Sibu, Dr Nanthakumar Thirunavukkarasu, beberapa aset peralatan perubatan telah disumbangkan kepada hospital dalam usaha berterusan bagi memenuhi keperluan pesakit di wad-wad tertentu.
“Kami mempunyai beberapa aset di bawah pengurusan kami dan tahun ini, pihak penderma telah meminta kami menyenaraikan peralatan yang ingin didermakan. Selepas semakan dalam sistem, kami memilih beberapa peralatan kritikal yang diperlukan,” katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan peralatan berkenaan daripada Pengarah Urusan Kumpulan RH, Datuk Tiong Thai King hari ini.
Beliau berkata, sumbangan itu adalah amat penting kerana sebahagian aset hospital mengalami kerosakan, sudah lama atau sedang dalam proses baik pulih.
“Peralatan baharu ini akan membantu menampung kekurangan dan memastikan kelancaran operasi di hospital,” katanya.
Menurut beliau, aset ini akan diagihkan ke pelbagai jabatan dalam hospital, termasuk Jabatan Perubatan, Pembedahan serta Jabatan Obstetrik & Ginekologi (O&G) bagi kegunaan pesakit dalam.
“Antara peralatan yang diterima ialah infusion pump, syringe pump, dan defibrillator monitor, yang merupakan keperluan asas.
“Selain peruntukan daripada Kementerian Kesihatan (KKM), kami juga cuba mendapatkan sumbangan bagi menampung keperluan hospital,” katanya.
Pada masa sama, Dr. Nanthakumar menegaskan bahawa peralatan yang disumbangkan ini tidak boleh digunakan serta-merta kerana perlu melalui prosedur yang ditetapkan.
“Kami perlu mengikut tatacara penerimaan hadiah, termasuk menghantar surat hasrat kepada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan melalui beberapa peringkat kelulusan sebelum mendapat kebenaran rasmi daripada ibu pejabat kami,” katanya.
Tempoh kelulusan bergantung kepada kelancaran proses dokumentasi. Jika semua dokumen lengkap, kelulusan boleh diperoleh dalam tempoh seawal dua hingga tiga minggu, tetapi jika terdapat kekurangan dalam dokumen, ia mungkin mengambil masa hingga dua bulan.
Dr. Nanthakumar turut mengalu-alukan penglibatan syarikat korporat dalam menyumbang kepada hospital melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
“Kami melihat beberapa syarikat korporat semakin aktif dalam menjalankan program CSR di hospital dan ini sangat membantu dalam menampung keperluan kami,” ujarnya.
Beliau berharap usaha ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang demi meningkatkan kemudahan perubatan di Hospital Sibu dan memberi manfaat kepada pesakit serta petugas kesihatan.
Turut hadir ialah Pengarah Eksekutif Kumpulan RH, Tiong Choon dan Pengurus Besar Perhubungan Korporat Kumpulan RH, Dato Thomas Tieng Mee Tung.
Oleh Akun Giman