
PADAWAN: Sebanyak 30 rumah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong bakal dibaik pulih di bawah Projek Kecil Luar Bandar menerusi Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (MRP-PPRMS).
Timbalan Menteri Pengangkutan (Udara & Jalan) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil berkata bagi fasa 1/2025, sebanyak RM500,000 telah diperuntukkan bagi melaksanakan projek ini.
Menurut beliau, projek tersebut akan bermula pada Mac ini dan dijangka siap sepenuhnya pada April depan.
“30 kontraktor telah dilantik bagi memastikan kerja-kerja pembaikan berjalan lancar dengan setiap rumah diperuntukkan kos sebanyak RM15,000 untuk pembaikan,” katanya semasa taklimat dan cabut undi Projek MRP-PPRMS DUN Mambong Fasa 1/2025 di sini, hari ini.
Sementara itu, Jerip turut menegaskan kepentingan menyenaraikan skop kerja pembaikan dalam satu senarai utama.
Katanya, perkara tersebut perlu dipersetujui oleh pemilik rumah serta ketua kaum bagi memastikan kelancaran projek. – UKAS