
JAKARTA: Presiden Indonesia. Prabowo Subianto, mengumumkan rancangan untuk membiayai pembinaan sebuah penjara berkeselamatan tinggi di pulau terpencil bagi menempatkan pegawai yang terlibat dalam rasuah.
Inisiatif itu dibuat susulan peningkatan kes rasuah berprofil tinggi, termasuk skandal membabitkan syarikat milik kerajaan seperti Pertamina serta dakwaan terhadap ahli politik terkenal.
“Kita akan cari sebuah pulau, kalau mereka cuba melarikan diri, mereka akan berdepan dengan jerung,” katanya seperti dipetik oleh portal berita RMOL.ID.
Beliau turut menegaskan kesediaannya untuk berdepan dengan golongan korup, sambil menyatakan: “Saya tidak takut kepada mafia. Polis dan tentera bersama saya, malah guru juga akan menyokong perjuangan ini”.
Prabowo memberi amaran bahawa rasuah mengancam kesejahteraan negara, sekali gus menyukarkan kehidupan golongan pekerja penting seperti guru, doktor, jururawat dan petani.
Beliau menegaskan keperluan untuk membanteras rasuah bagi mengelakkan lebih banyak kemudaratan kepada negara, sambil menambah: “Jika perlu, kita akan buang mereka dari Indonesia.”
Pendekatan tegas ini mencerminkan usaha lebih luas pentadbiran beliau dalam memperkukuh tadbir urus dan ketelusan, dengan matlamat memulihkan kepercayaan rakyat serta memastikan kerajaan yang bersih dan bertanggungjawab.-BERNAMA