
BINTULU: Malaysia LNG Sdn Bhd (MLNG), anak syarikat Petronas menyumbangkan peralatan pembersihan kepada Pejabat Daerah Sebauh menerusi Program Memacu Kehidupan Bantuan Bencana bagi menyokong usaha pemulihan pascabanjir.
Sumbangan tersebut merangkumi mesin pencuci air tekanan tinggi dan kekili hos, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM17,000.
Simbolik penyerahan disempurnakan oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MLNG, Mohamed Syazwan Abdullah @ Laga Jenggi kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu yang juga Residen Bahagian Bintulu, Datu Nyurak Keti sambil disaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming di Pejabat Residen Bintulu, hari ini.

Menurut Johnny Pang, inisiatif tersebut akan memberi manfaat besar kepada komuniti setempat, khususnya dalam memastikan kebersihan dan keselamatan pascabanjir.
“Sumbangan daripada MLNG ini amat bermakna dan akan membantu mempercepat proses pemulihan pascabanjir.
“Terima kasih kepada MLNG atas keprihatinan mereka terhadap kesejahteraan masyarakat,” katanya ketika ditemui media pada program tersebut.
Selain sumbangan peralatan pembersihan, MLNG turut mengagihkan 500 hidangan bubur pedas kepada pengguna jalan raya dan agensi tempatan di hadapan Pejabat Residen Bahagian Bintulu.
Program yang dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Residen Bintulu itu bertujuan menyantuni masyarakat setempat sekali gus memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti.
Oleh Carolyne Utih