

BINTULU: Peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) terus memainkan peranan penting dalam pembangunan komuniti, termasuk dalam aspek keagamaan dan kemasyarakatan.
Baru-baru ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming melakukan tinjauan di Gereja Evangelical Bintulu, yang mana kerja-kerja pembaikan dan naik taraf sedang giat dilaksanakan menggunakan dana RTP.
Menurut beliau, gereja berkenaan bukan sahaja antara gereja tertua di Bintulu, tetapi juga menjadi pusat ibadah bagi jemaah yang semakin bertambah, termasuk di cawangan-cawangannya di Taman Li Hua, Taman Bandar Jaya dan Kidurong.
“Melalui peruntukan RTP, kita menyokong pembangunan infrastruktur gereja bagi memastikan kemudahan yang lebih selesa untuk jemaah, terutama golongan belia yang semakin aktif dalam komuniti,” katanya menerusi satu hantaran di laman rasmi Facebooknya.
Dana RTP yang disalurkan tersebut digunakan untuk pelbagai kerja naik taraf, termasuk penurapan semula halaman hadapan, pembesaran ruang tamu rumah berkembar serta pembinaan ruang serbaguna lebih luas.
Selain itu, cadangan untuk menaik taraf cawangan gereja di Taman Bandar Jaya menjadi pusat belia turut mendapat perhatian bagi memastikan golongan muda mempunyai ruang yang lebih kondusif untuk menjalankan aktiviti keagamaan dan sosial.
Johnny Pang menegaskan, RTP bukan sekadar program pembangunan infrastruktur, tetapi juga satu usaha meningkatkan kesejahteraan komuniti melalui penyediaan kemudahan yang lebih baik untuk rakyat.
Oleh Carolyne Utih