

MIRI: Walaupun terpaksa meredah banjir dan perjalanan yang jauh, ia langsung tidak mematahkan semangat kemanusiaan yang tinggi dipamerkan oleh sekumpulan doktor dari Hospital Miri ke kawasan pedalaman Baram.
Menurut kenyataan Hospital Miri, pada 7 hingga 9 Mac yang lalu, seramai 11 kakitangan Hospital Miri yang turut serta dalam Program Kemanusiaan dan Komuniti di Long Atip dan Long Lama.
Ia merupakan anjuran Kelab Lions Miri Mandarin 308-A2 yang melibatkan ahli kelab turun ke lapangan bersama para doktor.
Antara pengisian program termasuklah memberikan khidmat nasihat kesihatan berkaitan tulang, perubatan, mulut dan gigi kepada penduduk setempat di kawasan berkenaan.
Selain itu, saringan kesihatan melibatkan pemeriksaan tekanan darah, berat badan dan tinggi (BMI), tahap glukosa darah dalam badan serta pemeriksaan payu dara bagi tujuan kesedaran pengesanan awal kanser payu dara juga dijalankan dalam program itu.
Turut serta, Ketua Jabatan Ortopedik Dr Amkintay Rutel, staf Jabatan Ortopedik, Jabatan Pergigian dan Unit Kejururawatan.
OLEH ADUM LIU

