SIMANGGANG: Sokongan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan Parti Islam Se Malaysia (PAS) terhadap Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada pilihan raya negeri (PRN) ke-12 akan datang amat disambut baik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Simoi Peri berkata, sokongan tersebut menunjukkan ketiga-tiga parti itu membalas budi GPS yang menyokong pembentukan Perikatan Nasional (PN) selepas ‘Langkah Sheraton’ pada penghujung Februari lalu.
Malah katanya, kenyataan terbuka Pengerusi GPS merangkap Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin juga dianggap menunjukkan wujudnya kesepakatan antara mereka.
“Pengumuman beberapa pemimpin tertinggi PPBM, UMNO dan PAS seperti mana yang dijelaskan oleh Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) merangkap Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing dalam kenyataan media baru-baru ini menunjukkan bahawa PN telah mencapai keputusan bersama.
“Keputusan itu juga menunjukkan lawan GPS pada PRN Sarawak akan datang iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan beberapa parti politik kecil lain yang secara terang telah menyatakan pendirian untuk menentang GPS,” kata Simoi.
Walaupun PN menunjukkan sokongan kepada GPS katanya, ia tidak bermakna GPS memandang rendah ke atas PKR dan DAP yang turut mendapat sokongan daripada ketua mereka di Semenanjung Malaysia dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang dikatakan mempunyai banyak ‘wang’ untuk meletak calon di semua 82 kerusi DUN Sarawak pada PRN-12 nanti.
Sementara itu, melihat kepada kestabilan politik dan ekonomi Sarawak sama ada sebelum, semasa dan pasca Covid-19, GPS kata beliau, tetap tenang menghadapinya khusus dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat menerusi pembangunan kawasan luar bandar dan peningkatan ekonomi.
“Manakala pembangkang dalam negeri ini pula sudah mula ketandusan idea apabila mereka menggunakan banyak persepsi hingga mengundang kepada kerugian kepada rakyat seperti memainkan isu pembinaan Jalan Utama Kedua Pesisir Pantai Sarawak.
“Lagipun jika GPS yang diwakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Bersatu Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), PRS serta Parti Demokratik Progresif (PDP) sentiasa utuh dan sepakat namun tidak bagi PKR Sarawak yang kini menghadapi masalah keluar parti disebabkan tiada lagi kepercayaan terhadap pemimpin utama mereka,” kata Simoi.
Beliau turut menambah, PSB pula bergelut mencari calon yang akan mewakili mereka di 82 DUN seperti yang diumumkan sebelum ini tetapi sehingga kini tiada yang mahu tampil kerana mengetahui pemimpin GPS telah menjalankan tugas mereka dengan baik di setiap kawasan DUN.
Begitu pun, PN turut bergelut dengan keadaan politik semasa di Semenanjung Malaysia yang tidak mustahil akan menjurus kepada pilihan raya umum (PRU) ke-15 jika senario politik semasa diambil kira bagi mendapatkan keputusan pilihan raya yang jelas dalam membentuk kerajaan Persekutuan yang diterima ramai.
“Adalah tidak mustahil PN mampu memenangi PRU15 jika ia diadakan serentak dengan PRN Ke-12 memandangkan rakyat sudah pun boleh menerima kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas melihat kejayaan dalam menangani Covid-19.
“12 ahli gabungan dalam PN juga menyatakan sokongan mereka ke atas Tan Sri Muhyyiddin Yasin sebagai calon Perdana Menteri jika menang pada PRU15 akan datang juga menunjukkan keputusan konkrit di atas kerjasama ini,” jelas Simoi.
Justeru, beliau berharap agar sokongan PN kepada GPS dalam PRN ke-12 akan datang dapat diterjemahkan kepada sokongan Kerajaan Persekutuan ke atas Kerajaan Sarawak bukan sahaja dalam politik, tetapi juga dalam bentuk pembangunan, ekonomi dan sosial.
Oleh Valentine Ngumbang