KUCHING: Sarawak tidak mencatatkan sebarang kes positif Covid-19 semalam menjadikan ia kekal sebanyak 572 kes.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, semalam turut merekodkan dua kes baharu yang telah sembuh dan discaj dari hospital.
“Dua kes tersebut adalah masing-masing dari Hospital Umum Sarawak dan Hospital Bintulu.
“Menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 yang telah sembuh dan discaj sebanyak 551 orang atau 96.33 peratus,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Tambahnya, sebanyak empat orang masih menerima rawatan di dalam wad isolasi hospital.
“Jumlah kematian kekal sebanyak 17 orang, sebanyak 58 orang yang disyaki (PUI) baharu dilaporkan dan tujuh kes masih menunggu ujian makmal,” jelasnya.
Mengulas mengenai pemantauan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), sebanyak 2,068 premis telah dipantau.
“Sebanyak 339 pasar raya, restoran (428), kilang (14), bank (185), pejabat kerajaan (106), penjaja (41), pasar tani/awam (101), tempat ibadah (125), tempat riadah (66), tapak pembinaan (27) dan lain-lain (636).
“Seramai 645 pasukan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (327), Angkatan Tentera Malaysia (39), Jabatan Sukarelawan Malaysia RELA, Anggota Pertahanan Awam Malaysia (89), Pihak Berkuasa Tempatan (56), dan agensi lain (2),” katanya.
Bercakap mengenai sekatan jalan raya, terdapat enam sekatan jalan raya di lima daerah bersempena dengan Op Benteng iaitu di Lundu (2), Bau (1), Serian (1), Sri Aman (1) dan Lubok Antu (1).
“Daripada enam sekatan jalan raya tersebut, sebanyak 968 jumlah kenderaan telah diperiksa.
“Pada hari ini (semalam), seramai 116 orang di bawah pengawasan (PUS) telah mendaftar masuk di hotel untuk menjalani kuarantin, menjadikan jumlah keseluruhan PUS di 11 hotel adalah seramai 697 orang,” tambahnya.
Oleh Zarina Abdullah