
ISKANDAR PUTERI: Polis mematahkan cubaan menyeludup masuk keratan karkas khinzir disyaki dari negara jiran selepas menahan seorang pemandu lori di Taman Industri Jaya, Skudai pada Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP M Kumarasan berkata, sepasukan polis dari cawangan khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri telah menjalankan pemeriksaan ke atas lori berkenaan sekitar 11.10 malam.
“Hasil pemeriksaan menemukan 90 keratan karkas khinzir disyaki diseludup dari negara jiran dan lelaki berusia 33 tahun itu juga gagal mengemukakan sebarang dokumen pemilikan yang sah.
“JPV turut mengesahkan bahawa keratan karkas khinzir berkenaan bukan dari rumah sembelih yang diluluskan atau dilesenkan oleh jabatan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pihaknya merampas keratan karkas khinzir berkenaan yang bersamaan 45 khinzir, sebuah lori dan segugus kunci, anggaran nilai rampasan RM375,000.
“Tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada pihak JPV untuk tindakan lanjut. Siasatan dijalankan di bawah peruntukan Subkaedah 5(3) Kaedah-kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009 Akta Binatang 1953,” katanya.
Sebarang maklumat berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada balai polis berhampiran atau pusat kawalan daerah Iskandar Puteri di talian 07-5113622 atau hotline 07-5114486.
-BERNAMA