
KUCHING: Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) dan Endeavor Malaysia telah membuka permohonan untuk kohort kedua program SCALE Sarawak bagi menyokong pertumbuhan usahawan berimpak tinggi di Sarawak.
Menurut Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, SCALE Sarawak adalah bukti komitmen TEGAS dalam membangunkan syarikat pemula yang berpotensi tinggi serta meletakkan Sarawak sebagai pemain utama dalam ekonomi digital serantau.
“Inisiatif ini sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030, mengukuhkan visi kami untuk ekosistem yang berkembang dan inovatif.
“Melalui kerjasama ini dengan Endeavor Malaysia, kami membekalkan usahawan dengan sumber dan rangkaian penting yang mereka perlukan untuk berjaya.
“Dengan memupuk kolaborasi dan menyediakan sokongan strategik, kami berhasrat untuk mempercepatkan pertumbuhan landskap syarikat pemula Sarawak dan memberi kesan ekonomi yang mampan,” katanya yang juga Pengerusi TEGAS dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Menurut Pengarah Urusan Endeavor Malaysia, Shan Li Tay, Endeavor percaya bahawa usahawan berimpak tinggi mempunyai keupayaan untuk mengubah ekonomi dan memberi inspirasi kepada generasi seterusnya.



“Kami amat berbesar hati kerana TEGAS sekali lagi mempercayakan kami untuk menjalankan SCALE Sarawak untuk memperkukuhkan lagi komitmen kami dalam memperkasakan usahawan tempatan.
“Membekalkan mereka dengan sumber, bimbingan, dan hubungan yang betul dapat mempercepatkan kejayaan individu serta membina asas untuk ekosistem syarikat pemula yang berkembang pesat,” tambahnya.
Kohort 2025 bakal menampilkan enam syarikat pemula Sarawak yang berimpak tinggi, dipilih berdasarkan pendapatan, potensi pertumbuhan, pemilikan harta intelek dan komitmen terhadap penyelesaian berasaskan teknologi.



Program itu akan berlangsung dari 15 Mei hingga Oktober 2025 di TEGAS Digital Village.
Program tersebut terbuka kepada perniagaan berdaftar dengan sekurang-kurangnya seorang pengasas bersama dari Sarawak dan pendapatan tahunan minimum RM500,000 serta syarikat pemula yang layak boleh memohon di bit.ly/SCALEsarawak2025.