
SIMANGGANG: Datuk Francis Harden Hollis terus diberi kepercayaan apabila sekali lagi beliau dipilih selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Sri Aman (FASA).
Pemilihan Harden dipersetujui sebulat suara pada Mesyuarat Agung Tahunan pemilihan sesi penggal 2025-2027 diadakan di sini, hari ini.
Mesyuarat tersebut turut menyaksikan Standely James Batang kekal sebagai Timbalan Presiden FASA dan Alfred Kendim dipilih sebagai Setiausaha Kehormat FASA yang baharu. Manakala jawatan Penolong Setiausaha Kehormat disandang oleh Mohd Azrien Abdullah selepas dipilih sebulat suara untuk memikul tanggung jawab tersebut.
Frederick Jonathan Isau dipilih sebagai Bendahari FASA baharu, manakala Mohamad Hairulasfia Hasbi sebagai penolong bendahari.

Seramai tujuh Exco FASA yang telah dilantik iaitu Micheal James Batang, Mohamad Zulfazdli Tahir, Nina Shakilla Abdul Kadir, Nia Afera Abdul Kadir, Dayang Norratine, Taupek Ahmad dan Nur Fayyad Hossin.
Dalam pada itu Harden dalam ucapannya berkata beliau berterima kasih kepada semua barisan Exco FASA kerana masih memberi kepercayaan kepadanya untuk terus menerajui badan induk ini untuk tempoh tersebut.
Beliau juga mengingatkan semua ahli mesyuarat agar memastikan setiap aktiviti yang dijalankan oleh FASA dirancang dengan teliti dan melibatkan pengurusan kewangan yang telus.
Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang itu turut memberi peringatan tentang kepentingan pengurusan tatakelola yang baik, yang mana semua aktiviti bola sepak dan futsal perlu melalui kelulusan FASA dan pengeluaran kewangan hanya boleh diluluskan melalui mesyuarat persatuan untuk memastikan tiada sebarang masalah kewangan timbul.
Dalam pada itu, Harden telah bersetuju meluluskan peruntukan berjumlah RM50,000 kepada FASA bagi tujuan penganjuran Piala YB Datuk Francis Harden 2025 dan aktiviti FASA yang lain pada tahun ini.
Oleh Adi Saparman