


MIRI: Sebanyak 500 pek beras bersama bantuan makanan telah disalurkan kepada mangsa bencana banjir dan golongan berpendapatan rendah di Kampung Tudan Fasa 3 di sini, hari ini.
Program amal ini dianjurkan oleh Persatuan Penganut Buddha Thian Chun Tien, Miri dengan kerjasama Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Senadin.
Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin yang turut hadir bagi menyampaikan bantuan secara peribadi menyatakan inisiatif tersebut merupakan sumbangan peribadi beliau dan Pusat Khidmat SUPP Cawangan Senadin.
“Pada hari ini, sejumlah 500 pek beras dan bantuan makanan lain telah disampaikan kepada mereka yang terjejas akibat bencana banjir.
“Bantuan ini adalah manifestasi komitmen kami dalam membantu golongan yang memerlukan,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu turut mendedahkan bahawa Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor) kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM150,000 untuk pembinaan dewan serbaguna serta penambahbaikan infrastruktur kuil.
Inisiatif ini bertujuan menyediakan ruang yang lebih luas dan selesa bagi pelbagai aktiviti keagamaan dan komuniti, sekali gus memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat majmuk Sarawak.
“Perpaduan adalah kekuatan kita. Marilah kita terus saling membantu dan menyokong antara satu sama lain tanpa mengira latar belakang kaum dan agama,” katanya sambil menekankan kepentingan kerjasama dan tolong-menolong demi kesejahteraan masyarakat.
Program amal tersebut turut mencerminkan komitmen pihak penganjur serta pemimpin tempatan dalam memastikan bantuan segera sampai kepada mereka yang terjejas serta dalam usaha memupuk perpaduan dalam masyarakat.
Kehadiran seramai 500 orang dalam majlis amal ini mencerminkan semangat perpaduan dan keprihatinan dalam kalangan masyarakat setempat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
Turut hadir, Pengerusi Pengelola yang juga Pengerusi JKKK Kampung Tudan Fasa 3, Kaunselor Jeffrey Phang serta Kapitan Chong Ah Muk. – UKAS