KUCHING: Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing berpendapat adalah lebih baik untuk pilihan raya negeri (PRN) diadakan pada tahun ini.
Apabila dihubungi Utusan Sarawak, beliau berkata, bagaimanapun, keputusan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) berada di tangan Ketua Menteri.
“Ini adalah pandangan saya. Saya akan memberi cadangan sebegini sekiranya ditanya oleh Ketua Menteri. Dia (Abang Johari) yang membuat keputusan,” kata Masing.
Beliau juga berkata, adalah baik juga sekiranya pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) diadakan pada tahun ini untuk mengembalikan kestabilan politik di negara ini berikutan pergolakan kuasa.
Masing yang juga presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) berkata, PRS sentiasa bersedia untuk PRN dan adalah lebih baik jika ia diadakan bersama dengan PRU-15.
“Ini akan memberi kestabilan politik untuk lima tahun yang akan datang.
“Mereka dalam sektor ekonomi dapat membuat perancangan jangka masa tanpa risau berkenaan dengan keadaan politik,” kata Masing.
Sesetengah penganalisis politik berkata, PRN mungkin akan diadakan pada tahun ini sebelum berakhirnya penangguhan bayaran pinjaman bank kerana sektor ekonomi mungkin akan merosot selepas itu termasuk kemungkinan kehilangan pekerjaan yang akan memberi kesan kepada rakyat.
Oleh Connie Chieng