
LISBON: Pengendali Barcelona, Hansi Flick teruja dan bangga selepas anak buahnya ketika menewaskan Benfica 1-0 pada aksi pertama pusingan 16 akhir Liga Juara-Juara Eropah walaupun beraksi hanya 10 orang.
Flick ternyata gembira dengan kematangan pemain-pemainnya dan tumpuan benteng pertahanan Barca, yang mengatasi kehilangan bek 18 tahun, Pau Cubarsi di awal permainan sebelum Raphinha meledak gol kemenangan di babak kedua
“Ia kemenangan hebat. Kami teruja bukan hanya dengan kemenangan tetapi cara kami mencapainya. Kami bertahan dengan baik, sebagai satu pasukan, itu paling penting buat kami.
“Kami menguruskan permainan dengan baik walaupun kehilangan seorang pemain di awal babak pertama dan tindak balas pasukan menakjubkan. Ia tidak mudah, tetapi kami masih berdepan aksi timbal balik. Kami perlu waspada dengan Benfica,” katanya.
Penjaga gol Barca, Wojciech Szczesny beraksi cemerlang menangkis percubaan-percubaan Benfica dan Flick memuji persembahan pemain Poland itu.
Szczesny adalah projek peribadi Flick yang memujuknya untuk kembali daripada persaraan dan mewakili Barca selepas penjaga gol Jerman, Marc-Andre ter Stegen cedera ligamen lutut pada September.
“Szczesny mengagumkan. Jelas dia sangat berbeza sekarang berbanding ketika tiba dulu. Dia semakin yakin di setiap perlawanan dan kami bertahan lebih baik kerana itu.
“Saya tahu dia memang boleh bermain di peringkat ini kerana saya melihatnya setiap hari dalam latihan. Ia hebat untuk kami,” ujarnya.-AFP