ALOR SETAR: Kelangsungan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang menjadi keutamaan kerajaan negeri Kedah diharap terus mendapat perhatian dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) yang akan dibentangkan tidak lama lagi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata sehubungan itu beberapa aspek penting berhubung KXP sudah dibincangkan pihaknya dengan kerajaan negeri antaranya dari segi kos dan kaedah pembiayaan projek ikonik negeri itu.
“Difahamkan kos untuk pengambilan balik tanah adalah sebanyak RM2.5 bilion, manakala untuk bina terminal dan kos kerja-kerja berkaitan termasuk bina landasan ialah sebanyak RM2.5 bilion.
“Satu lagi komponen penting adalah pembinaan jalan dari Kulim ke Sungai Petani, melibatkan kos sebanyak RM1.8 bilion, jadi untuk menjayakan hasrat kerajaan negeri untuk membina KXP ini, memerlukan sebanyak RM6.8 bilion,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor di Wisma Darul Aman, di sini, semalam.
Mustapa berkata setakat ini keputusan mengenai kaedah pembiayaan projek berkenaan masih belum dimuktamadkan, sama ada akan dibuat melalui pinjaman mahupun penswastaan.
“Ada cadangan supaya misalnya pembiayaan pembinaan lebuh raya yang menghubungkan Kulim dan Sungai Petani itu mungkin melalui penswastaan… namun belum ada keputusan muktamad,” katanya.
Ditanya mengenai keupayaan kerajaan Persekutuan dalam memastikan kelangsungan projek KXP, Mustapa berkata, selain melihat keutamaan kerajaan negeri, kedudukan kewangan di peringkat pusat juga perlu diambil kira.
“Saya dimaklumkan beberapa keputusan sudah dibuat tentang perkara ini (KXP) dan difahamkan perkara ini sudah dibentang dan dibincang dalam majlis NCIA (Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara).
“(Tapi) kita belum buat keputusan muktamad, itu sebab kita datang untuk dengar apakah keutamaan tertinggi di Kedah dan semalam diberitahu (keutamaannya adalah) KXP,” katanya.- Bernama