Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2024 berkuat kuasa hari ini
  • SEMASA

Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2024 berkuat kuasa hari ini

Utusan Sarawak 2 months ago
DATUK Seri Azalina Othman Said.

PUTRAJAYA: Kerajaan hari ini secara rasmi mengumumkan bahawa Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2024 [Akta 676], akan mula berkuat kuasa, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata Akta yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 11 Julai 2024, bertujuan memperkukuh perlindungan dan hak saksi kanak-kanak dalam sistem perundangan negara.

“Melalui pindaan ini, Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 [Akta 676] kini menjadi perundangan utama yang menggariskan peruntukan substantif dan tatacara berkaitan keterangan saksi kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Azalina berkata beberapa Akta berkaitan turut dipinda bagi memastikan keseragaman dalam sistem perundangan termasuk Akta Keterangan 1950 [Akta 56], Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792], Akta Sumpah dan Ikrar 1949 [Akta 1949], Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 [Akta 747] dan Akta Angkatan Tentera 1972 [Akta 77].

“Dengan pindaan ini, kekompetenan saksi kanak-kanak untuk memberikan keterangan dalam mana-mana prosiding berkaitan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 atau mana-mana kesalahan dalam Jadual kepada Akta tersebut sekiranya mangsa ialah kanak-kanak, kini akan diuruskan sepenuhnya di bawah Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007,” katanya.

Azalina berkata ini juga termasuk pensabitan seseorang bagi kesalahan di bawah Akta tersebut yang boleh berasaskan keterangan saksi kanak-kanak tanpa sokongan, selaras dengan peruntukan baharu yang diperkenalkan,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan MADANI tekad untuk terus memartabatkan kedudukan saksi kanak-kanak dalam sistem keadilan negara dan mengiktiraf peranan penting mereka dalam menegakkan keadilan.

Azalina berkata usaha itu juga sejajar dengan komitmen antarabangsa Malaysia, termasuk di bawah Konvensyen mengenai Hak Kanak-Kanak.

“Pindaan Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 [Akta 597] yang telah dikuatkuasakan pada 10 Julai 2024, adalah antara bukti nyata iltizam kerajaan dalam memperkukuh perlindungan terhadap kanak-kanak. 

“Antara perubahan utama dalam pindaan berkenaan ialah penambahan Seksyen 6A yang memperuntukkan pelantikan seorang Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak dan dua orang Pesuruhjaya Kanak-Kanak,” katanya.

Azalina berkata proses pelantikan bagi jawatan-jawatan tersebut kini sedang diuruskan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri dan dijangka selesai dalam masa terdekat.

“Pelantikan ini akan memastikan suara dan kebajikan kanak-kanak di Malaysia terus diperkasakan serta diberi perhatian yang sewajarnya dalam dasar dan pentadbiran negara,” katanya. – Bernama

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Jururawat berhenti: Ramai ingin berkhidmat di negeri sendiri – Lukanisman
Next: Platform fail aduan, cabar tindakan turunkan kandungan media sosial akan diwujudkan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.