BINTANGOR: Pili bomba memainkan peranan penting dalam operasi pemadaman kebakaran bagi memastikan bekalan air mencukupi sekiranya berlaku kecemasan kebakaran.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, sehubungan itu, pihaknya menjalankan pemeriksaan berjadual untuk memastikan semua pili bomba berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan.
“Pemeriksaan ini amat penting bagi memastikan pili bomba berfungsi dengan baik dan tidak terhalang, sekali gus memastikan kelancaran operasi pemadaman sekiranya berlaku kebakaran.
“Jika ia tidak berfungsi dengan baik atau terhalang oleh kenderaan dan struktur binaan, ia boleh menyukarkan operasi pemadaman kebakaran dan meningkatkan risiko kerosakan serta kehilangan nyawa,” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, seramai empat anggota menjalankan pemeriksaan di kawasan Jalan Kilang melibatkan sebanyak 14 unit pili bomba dari 9.03 pagi hingga 10.45 pagi.
“Selain memastikan pili bomba dalam keadaan baik, pemeriksaan ini juga bertujuan mengenal pasti sebarang kebocoran atau kerosakan yang perlu dibaiki segera,” katanya.
Oleh Earl Anek