ENGKILILI: Segenap lapisan masyarakat di Engkilili harus terus menyokong dan berdiri teguh di belakang Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnical Rayong Ngipa, berkata perkara itu adalah kerana Premier mempunyai dasar, misi, dan visi yang jelas dalam membangunkan rakyat di kawasan luar bandar.
Jelasnya lagi, kewibawaan beliau sebagai pemimpin di wilayah ini juga telah terbukti dengan hasil pendapatan Wilayah Sarawak yang semakin bertambah selain diiktiraf oleh Bank Dunia sebagai sebuah wilayah berpendapatan tinggi sebelum ini.
“Untuk 2025, telah menyaksikan Wilayah Sarawak memperoleh hasil pendapatan sebanyak RM 18.5 bilion, iaitu yang paling tinggi setakat ini bagi kita di Sarawak, daripada hasil itu, sebanyak hampir lebih 60 peratus digunakan bagi pembangunan luar bandar.
“Ia adalah hasil usaha melalui wakil-wakil rakyat daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) termasuk di Engkilili ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Tapak Rumah Baharu Rumah Rundai Ugat, Baloi Skrang di sini, hari ini.
Tambah Rayong, rakyat Sarawak seharusnya berasa amat bertuah kerana mempunyai seorang pemimpin yang berkaliber dan berwawasan serta berpandangan jauh seperti Abang Johari.
“Kita di Sarawak seharusnya berasa bangga kerana mempunyai seorang ketua (pemimpin) yang cukup berkaliber, berwawasan dan berpandangan jauh seperti Abang Johari.
“Berdasarkan itu, tidak ada sebab mengapa rakyat di wilayah ini tidak berdiri teguh dan memberikan sokongan padu kepada beliau, dan kerajaan GPS terutamanya di Engkilili pada setiap masa daripada sekarang,” tegasnya.
Menyentuh perkembangan terkini pembangunan di Engkilili, Rayong berasa amat gembira apabila pembinaan Balai Bomba kelas ‘D’ di Engkilili akan bermula tidak lama lagi.
“Untuk maklumat, permohonan kita untuk mendapatkan sebuah Balai Bomba di Engkilili sebelum ini nampaknya akan menjadi kenyataan.
“Baru-baru ini saya bersama pihak berwajib telah melakukan lawatan tapak bagi projek tersebut dan pembinaannya dijangka akan bermula tidak lama lagi,” katanya.
Tambah Rayong lagi, cadangan projek pembinaan Stadium Tertutup di Engkilili juga telah diluluskan.
“Selain Balai Bomba, permohonan kita untuk membina sebuah stadium tertutup di Engkilili juga telah diluluskan oleh kerajaan menerusi pertemuan saya bersama Menteri terlibat iaitu Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
“Jadi, banyak lagi yang lain dan saya amat yakin akan lebih banyak projek pembangunan yang akan menyusul selepas ini terutamanya selepas Daerah Kecil Engkilili ini berjaya dinaik taraf kepada daerah penuh tidak lama lagi,” kata Rayong.
Dalam majlis tersebut, Rayong turut mengumumkan peruntukan menerusi projek transformasi luar bandar (RTP) 2025 sebanyak RM100,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Panjang Rundai Ugat, Baloi Skrang untuk pembinaan rumah panjang baharu mereka selain sumbangan melalui geran projek kecil luar bandar (MRP) sebanyak RM10,000.
Selain itu, tiga organisasi lain sekitar Skim Skrang iaitu Persatuan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Engkilili, Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) Memaloi dan Tabika Kemas Skim Skrang turut menerima sumbangan MRP dengan jumlah keseluruhan RM28,000 untuk menjalankan aktiviti masing-masing.
Oleh Adi Safarman