
ISLAMABAD: Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif hari ini melancarkan pakej khas Ramadan bernilai 20 bilion rupee (sekitar AS$71.5 juta) bagi membantu keluarga kurang berkemampuan menjelang Ramadan yang bermula esok.
Ketika berucap pada majlis pelancaran, Perdana Menteri itu berkata, seramai empat juta keluarga yang layak melibatkan sekitar 20 juta orang akan menerima bantuan menerusi pakej itu, yang akan diagihkan dalam tempoh 10 hari pertama Ramadan.
Beliau menjelaskan, mekanisme yang terjamin akan memastikan pemindahan bantuan kepada empat juta keluarga yang layak di seluruh negara dapat dilakukan dengan lancar. Sebanyak 600 gerai turut disediakan di seluruh negara bagi menawarkan gula pada harga bersubsidi.
Kadar inflasi Ramadan tahun ini berkurangan dengan ketara berbanding tahun sebelumnya dan berlaku penurunan harga barangan keperluan. Kerajaan Pakistan turut meningkatkan jumlah bantuan kepada golongan miskin sepanjang bulan suci itu.
Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada rakan antarabangsa atas kerjasama dan sokongan mereka dalam usaha murni itu serta menghargai komitmen dan sumbangan berharga mereka.
– BERNAMA