
KOTA SAMARAHAN: Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri Sarawak Ke-64 melabuhkan tirainya di Dewan Suarah Kota Samarahan semalam.
Majlis itu menyaksikan Mohd Faizzil Affandi dari Bahagian Miri dinobatkan sebagai johan qari, manakala Roziah Ayub dari Bahagian Mukah meraih gelaran johan qariah.
Pengumuman pemenang dibuat oleh Imam Besar Negeri Sarawak, Dato’ Mustapha Kamal pada majlis penutupan yang dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar
serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.

Bagi kategori qari, naib johan dimenangi oleh Hadi Mohd Sharkawi dari Bahagian Kuching, sementara tempat ketiga disandang oleh Nordin Putit.
Bagi kategori qariah pula, naib johan dimenangi oleh Nurul Izzah Mukhali dari Bahagian Miri, dan tempat ketiga diraih oleh Eza Nurumaiza Japarudin dari Bahagian Limbang.
Selain tilawah, pertandingan hafazan turut menampilkan peserta cemerlang dalam tiga kategori.
Bagi kategori pertama hingga 10 juzuk al-Quran, johan bagi peserta lelaki dimenangi oleh Azzizul Azmin Abdul Rajak dari Bahagian Kuching, diikuti oleh Mohamad Shahrul Hakimi Mohamed Razif sebagai naib johan.
Bagi kategori wanita pula, Khairunnadia Khalid dinobatkan sebagai johan, diikuti oleh Nurshahirah Osman di tempat kedua dan Siti Nurshahirah Salahuddin di tempat ketiga.

Untuk kategori pertama, satu hingga 20 juzuk, Muhammad Najdat Arsyad Madzalan Abdul Rahman muncul sebagai johan lelaki, manakala abangnya, Muhammad Nasrat Anas Madzalan Abdul Rahman meraih tempat kedua manakala Tempat ketiga pula dimenangi oleh Awang Aliff Rayyan Muzzamil Awang Safri.
Bagi kategori wanita, Nur Husna Norzaidi dinobatkan sebagai johan, diikuti oleh Asma’ Nur Muthmainnah Azman di tempat kedua dan Izyan Nur Fazreena Ismail di tempat ketiga.
Kemuncak pertandingan Hafazan adalah kategori satu hingga 30 juzuk, yang menyaksikan Muhammad Arif Muadzam dinobatkan sebagai johan, diikuti oleh Muhd Azib Doraup sebagai naib johan dan Mohamad Khairul Anwar Marican Mohd Idris Marican di tempat ketiga.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohammad Abu Bakar Marzuki; Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi; Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Aidel Lariwoo; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr. Juanda Jaya; Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak yang juga Penasihat Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Ke-64, Datuk Misnu Taha; Mufti Negeri Sarawak serta tetamu lain.
Oleh Masrin Affirah