
DEBAK: Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Debak disaran agar terus bergerak aktif dan memperbanyakkan penganjuran program di pusat tersebut bagi manfaat ahli-ahlinya dimasa akan datang.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata antara aktiviti bermanfaat yang boleh dianjurkan untuk manfaat warga emas di PAWE Debak ialah seperti program gotong-royong, senaman sihat, kursus memasak selain aktiviti bersukan, mengaji dan sebagainya.
“Besarlah harapan saya agar PAWE Debak ini akan dapat menganjurkan lebih banyak lagi aktiviti atau program yang bakal memberikan manfaat kepada ahlinya selepas ini.
“Ia amat penting bagi memastikan warga PAWE Debak ini kekal sihat dan aktif dalam aktiviti atau program berkemasyarakatan. Antara aktiviti yang boleh dianjurkan ialah seperti gotong-royong, senaman sihat, bersukan, mengaji, perkebunan hidroponik, fertigasi dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam semasa berucap pada majlis Menyantuni dan Perpisahan Penyelia dan Pembantu Penyelia PAWE di Dewan Millinea Debak, hari ini.
Selain itu tambahnya, rekod cemerlang oleh pengurusan PAWE Debak sebelum ini juga harus dijadikan sebagai penanda aras dan perlu diteruskan oleh penyelia yang baharu apabila mula bertugas kelak.
“Disini saya ingin merakamkan ribuan terima kasih diatas rekod cemerlang oleh pihak pengurusan PAWE sebelum ini. Rekod ini pada saya adalah merupakan sebagai satu penanda aras kepada kepimpinan baharu PAWE Debak selepas ini.
“Untuk itu, komitmen tinggi dan usaha yang berterusan oleh penyelia yang baharu kelak amat kita tagih dan harapkan selepas ini,” katanya.
Turut hadir, Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Betong, Shamat Kassim, Pegawai Menguasa Daerah Kecil Debak, Mohammad Khairurani Mohammad Ibrahim, bekas Penyelia PAWE Debak, Suzilawati Saipol dan Temenggong Piee Alwi Serta Ketua-Ketua Masyarakat (KMKK) dan yang lain.