
KUCHING: Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak mengumumkan pelaksanaan wajib Audit Pematuhan Alam Sekitar (ECA) bagi semua projek perhutanan di negeri ini bermula 1 Julai 2024.
Langkah itu bertujuan meningkatkan pematuhan terhadap peraturan alam sekitar dan mengurangkan risiko pencemaran.
Menurut Pengawal Kualiti Alam Sekitar Sarawak, Datu Jack Liam, keputusan itu dibuat susulan kejayaan dua projek perintis yang dijalankan sejak 2023 dengan kerjasama Sarawak Timber Association (STA) dan 13 syarikat perhutanan.
“Projek tersebut membuktikan keberkesanan rangka kerja ECA dalam memastikan pematuhan syarat-syarat Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP).
“Sebagai sebahagian daripada usaha memperluas pemantauan alam sekitar, NREB juga akan melaksanakan projek perintis ECA dalam sektor perladangan kelapa sawit, kuari, dan perlombongan bermula Julai 2025 sebelum pelaksanaan sepenuhnya pada 1 Januari 2027.
“Syarikat-syarikat dalam sektor ini digesa untuk menghantar pegawai mereka bagi menjalani latihan sebagai persediaan menghadapi pelaksanaan penuh,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Selain itu, STA Training Sdn Bhd telah dilantik sebagai penyedia latihan rasmi bagi kursus ECA dalam menyokong peralihan tersebut.
Pengurusnya, Annie Ting, berkata kursus itu akan melatih bakal juruaudit dengan kemahiran yang diperlukan untuk memastikan pematuhan yang lebih ketat dalam industri.
“Kursus ini bukan sahaja membekalkan pengetahuan teknikal tetapi juga membantu syarikat mengenal pasti dan membetulkan isu ketidakpatuhan sejak awal,” ujarnya.
Pelaksanaan ECA mewajibkan syarikat mengambil pendekatan proaktif dalam mematuhi peraturan alam sekitar tanpa bergantung sepenuhnya kepada pemantauan berkala pihak berkuasa.
Langkah tersebut dijangka memperkukuh budaya tanggungjawab korporat serta memastikan pengurusan sumber asli secara lestari.
Bagi syarikat yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai latihan ECA, mereka boleh menghubungi STA Training di talian 082-332222 atau e-mel stat-training@sta.org.my.