
KABONG: Mewujudkan sebuah gelanggang sukan petanque yang bertaraf antarabangsa di Daerah Kabong adalah menjadi impian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir.
Beliau berkata buat masa ini, gelanggang petanque di Daerah Kabong yang terletak di Pantai Tanjung Kembang itu mempunyai sebanyak 16 gelanggang.
“Buat masa ini, gelanggang petanque di Daerah Kabong kini mempunyai sebanyak 16 padang dan impian kita untuk menjadikan sebuah gelanggang petanque bertaraf antarabangsa memerlukan sekurang-kurangnya 32 padang petanque di daerah ini.

“Ini adalah impian saya sejak dari dulu lagi dan berharap apabila ia terlaksana nanti dapat melahirkan lebih ramai pemain berbakat dalam sulan petanque di Kabong khasnya dan Sarawak amnya,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Penutupan Pertandingan Petanque Double Santai di Arena Petanque Kabong, Pantai Tanjung Kembang di sini hari ini.
Chee Kadir berkata kerajaan Sarawak sentiasa menyokong pembangunan semua jenis sukan termasuk sukan petanque dengan menyediakan infrastruktur sukan yang serba moden dan terbaik dunia.
Selain itu, turut diumumkan perancangan pembinaan galeri penonton untuk kegunaan para penonton di Arena Petanque Kabong. Turut dirancang pembinaan blok asrama untuk kegunaan para peserta dan pemain petanque dan juga kemudahan elektrik sekitar Arena Petanque Kabong.
“Dengan wujudnya prasarana sukan petanque bertaraf antarabangsa di Kabong ini kelak, ia berperanan sebagai pusat sukan standard serta lengkap untuk kemudahan pemain dan penggiat sukan itu di Sarawak,” katanya.
Menurutnya, sukan petanque kini semakin diminati pelbagai lapisan masyarakat selain membudayakan gaya hidup sihat serta mengelak terjebak dengan aktiviti tidak berfaedah.
Mengenai Pertandingan Petanque Double Santai, pasukan KePS 3 dari Saratok muncul sebagai johan, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM800 dan pingat.
Manakala pasukan KePS 1 juga dari Saratok muncul naib johan dan membawa pulang hadiah wang tunai RM600 serta pingat dan pasukan KBK1 dari Kabong ditempat ketiga membawa pupang hadiah wang tunai RM300, pingat, manakala pasukan Rejang 4 dari Rejang muncul ditemapt keempat membawa pulang hadiah wang tunai RM200 dan pingat.
Pertandingan Petanque Double Santai yang diadakan di Arena Petanque Kabong, Pantai Tanjung Kembang Kabong telah dianjurkan bersama Pusat Khidmat DUN N.40 Kabong dan Kelab Boules Kabong itu telah disertai sebanyak 36 pasukan yang menyertainya.
Turut hadir Presiden Persatuan Boules Sarawak, Datuk Wan Abdullah Edruce Wan Abdul Rahman, Presiden Kelab Boules Kabong, Ahmad Nazry Maini dan isteri ADUN Kabong, Datin Meryani Yasin.