




KUCHING: Sarawak komited untuk terus mengorak langkah sebagai hab pelancongan perubatan dengan memberi fokus kepada penggunaan teknologi terkini dalam sektor pergigian.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata penggunaan teknologi terkini dalam bidang tersebut bukan sahaja meningkatkan kualiti rawatan malah berpotensi menarik lebih ramai pelancong dari luar negara.
”Berdasarkan data dari Kementerian Pelancongan Sarawak, terdapat peningkatan bilangan orang yang datang ke sini untuk mendapatkan rawatan, khususnya dari Indonesia.
”Jadi, apa yang boleh kita lakukan ialah meningkatkan industri perkhidmatan kita dalam bidang perubatan dan ini akan membolehkan kita (Sarawak) sebagai hab pelancongan perubatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian pembukaan cawangan kedua D-Dentist Dental Clinic di Tabuan Jaya, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau memuji usaha D-Dentist Dental Clinic dalam menyediakan penggunaan teknologi terkini yang diyakini akan membawa perubahan besar kepada industri tersebut termasuk menyediakan perkhidmatan lebih efisien kepada pesakit.
”Tadi saya sempat diberi penerangan ringkas berkenaan penggunaan teknologi seperti pengimbas 3D intraoral dan sinar-X 3D. Pada masa sama, ia dapat menyediakan gambar gigi anda dengan definisi tinggi.
”Penggunaan teknologi terkini yang lebih moden seperti ini, menyediakan perkhidmatan yang lebih komprehensif dan secara tidak langsung akan meningkatkan keyakinan antara doktor gigi dan juga pesakit.
”Selain itu, pengadaptasian teknologi dalam bidang pergigian seperti ini amat penting bagi memastikan rawatan yang ditawarkan di Sarawak setanding dengan negara maju,” tambahnya.
Abang Johari pada masa sama berkata dengan ada syarikat penerbangan sendiri, pembinaan lapangan terbang yang baharu dan penyediaan sistem pengangkutan mampan, Sarawak kini berada di landasan tepat untuk menjadi pusat pelancongan perubatan pergigian serantau.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap dan Pengasas D. Dentist Dental Clinic, Dr. Leandre Chai.
Oleh RYNNA SHA’ERRA